• Sun. Feb 9th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

[VIDEO] Hujan batu melanda mencemaskan penduduk di KL

Jan 25, 2022
Spread the love

Hampir 10 minit ‘dihentam’ hujan batu

Kuala Lumpur: Hujan lebat di sekitar ibu negara petang ini mengakibatkan kejadian hujan batu di beberapa lokasi.

Penduduk Asmimi Yusariati Md Yusof 37, berkata, kejadian berlaku kira-kira 3.15 petang tadi ketika dia berada di rumahnya di Keramat AU3 di sini.

Katanya, pada awalnya hujan turun dengan lebat diikuti hentaman kuat hujan batu menghentam bumbung rumahnya.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 10 minit sebelum hujan kembali reda.

“Saya di dapur ketika itu. Hujan begitu lebat dan kemudian bunyi hentaman di atas bumbung. Bila saya lihat, ia adalah hujan batu.

“Mujur tidak ada apa-apa. Sebelum ini pernah juga saya berdepan situasi ini, tapi sudah lama,” katanya.

Seorang netizen, Muhammad Fais Roslan, 25, berkongsi pengalamannya ‘dihentam’ hujan batu ketika menunggang motosikal dari Taman Melawati ke Sri Rampai.

Katanya, walaupun perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa beberapa minit, dia rasa seperti terlalu lama dan hujan berkenaan membuatkan tubuhnya berasa pedih.

“Ini kali pertama saya berdepan keadaan ini. Mujur hanya sekejap, tetapi cabarannya terasa begitu lama.

“Alhamdulillah tidak ada kejadian tidak diingini berlaku. Selepas sampai, pedih akibat hujan itu masih lagi terasa,” katanya.

Sementara itu hujan lebat juga mengakibatkan kejadian pokok tumbang di Pangsapuri ATM Setiawangsa, Jalan Desa Kiara, Jalan 5/56 Sri Keramat, Jalan Setiawangsa 8 dan Jalan AU2/8 Sri Keramat.