Bekas menteri kabinet Wee Ka Siong meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menambah baik pengurusan di pusat pemindahan sementara (PPS) terutama berkaitan penyediaan makanan untuk mangsa banjir.
Ini selepas ahli parlimen Ayer Hitam itu melawat beberapa PPS di kawasannya di Johor dan mendapati makanan yang dihidangkan kepada mangsa banjir kurang berkualiti.
Menurut Wee, selain mangsa banjir diberikan kuantiti makanan yang sedikit, ada juga di antara mereka menerima nasi mentah.
Tambahnya, makanan yang dihantar juga lewat tiba ke PPS dengan sarapan pagi hanya disediakan selepas jam 11 pagi, manakala ada mangsa banjir yang menikmati makanan tengah hari selepas jam 2 petang.
“Saya terkilan melihat makanan yang dihantar pihak berkuasa. Inilah kualiti sarapan pagi yang dihantar. Orang makan pagi tapi dihantar pukul 11 (pagi).
“Ini pula makanan tengah hari, lauknya begitu sedikit saja. Jadi saya memang kecewa dan saya nampak ini tidak dibuat dengan baik,” katanya dalam rakaman video pendek sambil menunjukkan dua bungkusan mihun goreng dan nasi putih yang bersama seketul ayam berkuah.
Video yang dimuat naik di Facebook Wee petang tadi dirakam ketika dia melawat sebuah sekolah di Taman Kota, Yong Peng.
PPS berkenaan menempatkan kira-kira 375 mangsa banjir daripada 105 keluarga.
Wee yang juga presiden MCA, mendakwa situasi yang sama dihadapi beberapa PPS di Ayer Hitam dan menyebabkan ramai mangsa banjir kelaparan akibat makanan dihantar lewat.
Justeru Ahli Parlimen BN itu mencadangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat membenarkan gotong royong dilakukan orang ramai untuk memasak makanan mereka sendiri.
“Saya juga mengatakan bahawa jika kontraktor penyedia makanan tidak mampu memikul amanah ini, lebih baik diberikan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
“Biarlah mereka bergotong royong memasak dengan menggunakan barangan keperluan yang telah pun saya sediakan untuk kegunaan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Difahamkan isu dibangkitkan Wee telah sampai ke pengetahuan kabinet dan akan dijawab dalam sidang media esok. MK