• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Wanita rugi RM1.8 juta, simpanan KWSP dan peribadi lesap

Jun 12, 2023
Spread the love

KUCHING, SARAWAK: Seorang wanita berusia 55 tahun mengalami kerugian RM1.18 juta apabila menjadi mangsa penipuan melalui panggilan telefon.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh mangsa semalam, mangsa diperdaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram.

Mangsa yang masih bekerja sebagai kakitangan teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di Bintulu itu memaklumkan kejadian bermula apabila dia menerima panggilan telefon pada 22 Mei lalu.

Menurut mangsa, pemanggil mendakwa mangsa ada mendaftarkan nombor telefon di Kota Kinabalu, Sabah untuk memfitnah Kementerian Kesihatan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata panggilan berkenaan kemudian disambungkan kepada dua individu lain kononnya pegawai polis dari Kota Kinabalu yang mengatakan mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.

Mangsa kemudian dimaklumkan oleh suspek bahawa Bank Negara mahu memeriksa wang mangsa dan mangsa dikehendaki membuka akaun bank baharu dan memindahkan wang milik mangsa ke akaun baharu itu bagi tujuan siasatan.

Akibat panik, mangsa telah membuka tiga akaun bank yang berbeza serta memindahkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan banknya, masing-masing berjumlah RM881,000 dan RM300,000 ke dalam akaun bank baharu itu.

Menurutnya, wanita itu turut diarahkan oleh suspek memberikan maklumat akaun bank baharu itu berserta nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek.

Mangsa juga dikehendaki untuk mematahkan dan membuang ketiga-tiga kad ATM tersebut.

Mangsa hanya menyedari tertipu selepas memberitahu perkara itu kepada suaminya serta menghubungi pihak bank tentang transaksi itu.

Sumber: BERNAMA