BANK Negara Malaysia (BNM) dicadang memberi pengecualian kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada golongan yang masih terjejas dengan keadaan ekonomi semasa dan juga kumpulan B40.
Pada masa sama, Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Rosni Zahari mahu BNM memberi jaminan tidak akan menaikkan OPR dalam masa terdekat selepas kenaikan terbaharu dua hari lalu.
Menurutnya, kenaikan OPR kali kelima sejak Mei tahun lalu telah menyebabkan bayaran balik pinjaman meningkat secara drastik dan membebankan peminjam terutama golongan B40.
“Wanita Umno ingin mencadangkan agar BNM mengambil jalan tengah dan mempunyai sedikit empati dengan mengarahkan semua bank agar memberi pengecualian kenaikan ini kepada golongan sasar atau terjejas.
“Malah, BNM perlu memberi jaminan bahawa tiada lagi kenaikan OPR dalam masa terdekat dengan mengambil kira nasib rakyat yang sedang bergelut dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 3 Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dan BNM mengumumkan OPR meningkat 25 mata perpuluhan kepada tiga peratus.
Kenaikan itu menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini meningkatkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
Ini menjadikan kadar OPR ketika ini kembali kepada kadar seperti pra-pandemik Covid-19 iaitu pada 7 Mei 2019.
Dalam pada itu, Rosni berkata, BNM dan MPC perlu memberi penjelasan dalam bahasa mudah kepada rakyat berkenaan signifikan menaikkan OPR sehingga tiga peratus.
“Sehingga hari ini, BNM telah memberikan penjelasan yang terlalu teknikal dan kurang difahami sehingga menimbul persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan,” katanya.