TAMPIN : Wanita warga emas yang dilapor hilang sejak lebih dua minggu lalu disahkan maut selepas tulang dan rangkanya ditemukan di ladang kelapa sawit di FELDA Sungai Kelamah, di sini, petang semalam.
Tulang dan rangka mangsa, Aliah Omar, 74, atau lebih dikenali Makcik Senah itu ditemukan orang awam ketika mengembala lembu di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, mengesahkan identiti tulang serta rangka manusia yang sudah reput itu dipercayai sebagai Makcik Senah berdasarkan pengecaman dibuat anak mangsa melalui pakaian yang dipakai warga emas berkenaan.
Mengulas penemuan itu, katanya pada jam 5.30 petang anggota di Pondok Polis Sungai Kelamah menerima maklumat mengenai penemuan tulang dan rangka disyaki manusia yang sudah reput ketika sedang mengembala lembu di kawasan berkenaan.
“Tulang dan rangka berkenaan kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan, ” katanya dalam satu kenyataan.