• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Zahid dah hilang kawalan atas UMNO kata penganalisis

Jan 7, 2023
Spread the love

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi mempunyai kawalan ke atas parti itu berdasarkan apa yang berlaku di Sabah, menurut penganalisis politik Jeniri Amir.

Jeniri, yang juga felo Majlis Profesor, berkata walaupun Umno Sabah mempunyai autonomi, ini tidak bermakna pemimpinnya dibenarkan mencetuskan krisis melalui gerakan politik.

“Zahid mesti bertegas. Gerakan politik ini sangat menjejaskan Umno dan Barisan Nasional (BN). Rakyat dah muak dengan politiking, dan mahukan kestabilan,” katanya kepada FMT.

“Kegagalan mengawal mereka yang mendesak perubahan kerajaan di Sabah mempengaruhi kelayakan kepimpinan Zahid.

“Ini bukan perkara kecil. Jika Zahid tahu mengenainya (gerakan politik di Sabah), beliau sepatutnya menghalangnya. Jika beliau menentangnya, persoalannya adalah mengapa desakan itu terus berlaku, terutamanya apabila ia boleh menjejaskan perpaduan antara parti-parti berlainan di Sabah.”

Semalam, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengumumkan parti itu menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, menimbulkan keraguan terhadap sokongan diperolehinya dalam DUN.

Difahamkan bahawa Umno Sabah dan Warisan sedang bekerjasama untuk menyingkirkan Hajiji, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pakatan Harapan (PH) telah menyatakan sokongan kepada Hajiji.

Seorang lagi penganalisis, James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, apa yang berlaku di Sabah tidak akan memberikan impak besar kepada kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim.

“Politik peringkat negeri di Sabah dan Sarawak beroperasi dalam dinamik yang sangat berbeza, jadi saya tidak nampak kaitan langsung yang boleh menjejaskan kerajaan perpaduan.

“Semestinya, ia (membabitkan) parti yang sama tetapi di sini anda bercakap tentang dinamik politik di Sabah dan Sarawak yang sangat berbeza,” katanya.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, cawangan Sabah daripada pelbagai parti Semenanjung mempunyai tahap autonomi yang tinggi dalam membuat keputusan terutamanya melibatkan perkara negeri tetapi bukan persekutuan.

Beliau berkata, keputusan itu mungkin dibuat di peringkat negeri dengan atau tanpa persetujuan pemimpin Umno pusat.

  • FMT