• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Zuraidah akhirnya sertai Muafakat Nasional

Dec 14, 2022
Spread the love

Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dilapor menyertai Muafakat Nasional (MN) yang dipengerusikan Tan Sri Annuar Musa.

Perkara itu dikongsikan bekas Ketua Bahagian UMNO Ketereh itu dalam satu hantaran di Facebook, petang ini.

“Terima kasih Datuk Zuraida Kamaruddin kerana sudi bertandang ke pejabat saya.

“Terima kasih juga kerana menyertai Muafakat Nasional,” tulisnya.

Media sebelum ini melaporkan, Annuar mendedahkan telah mendaftarkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama MN dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 19 September 2019 serta menamakan beliau sebagai Presiden.

Annuar kemudiannya dipecat UMNO pada Jumaat lalu kerana dilihat suka mengkritik dan mencemuh tindakan parti sendiri.

Pada 25 November lalu, bekas Setiausaha Agung UMNO itu memutuskan untuk mengaktifkan kembali MN, sebuah NGO yang diasaskannya.

Annuar dilapor berkata, MN akan diaktifkan untuk memupuk nilai muafakat, perpaduan ummah dan keutuhan sistem politik negara yang lebih baik serta menekankan bahawa NGO itu akan berpaksikan pada Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.